Saturday, January 31, 2009

Pengerusi SPR Hina Mahkamah 2007

Pengerusi SPR hina mahkamah kes Likas, dakwa Hakim berat sebelah
Azamin Amin Tue Dec 04, 07 3:28:30 pm MYT
KUALA LUMPUR, 4 Dis (Hrkh) -"Hakim itu sendiri tidak periksa...dalam one side, hakim itu sendiri 'bias' (berat sebelah). Hakim itu 'got frustrated with certain things' dan dia gunakan ini untuk 'pukul' kerajaan bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),"
Pengerusi SPR , Tan Sri Abd Rashid Abd Rahman hari ini mendakwa bahawa penghakiman pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas 2001 berat sebelah malah turut mendakwa Hakim tersebut 'mempunyai agenda tersendiri' sehingga terhasilnya keputusan tersebut.
Walaupun beliau mengakui tidak tahu apa yang dinyatakan secara terperinci oleh Hakim dalam isu Pengkalan Pasir dan Likas namun beranggapan kenyataan hakim tersebut telah digunakan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat khususnya orang kampung.
"Proses penghakiman itu saya 'tak attend' juga. Apa yang dikatakan oleh hakim, saya tak tahu. Dia boleh katalah semuanya sebab nak cerita kat orang kampung.Dia nak cerita kat orang kampung, bukan kita tak 'tu' (menang), tapi orang tipu kita.
"Pengundi hantu apa di Likas ni? Di Likas ini adalah complete 'different' isu. Bukan urusan pengundi hantu."
"Hakim itu sendiri tidak periksa...dalam one side, hakim itu sendiri 'bias' (berat sebelah). Hakim itu 'got frustrated with certain things' dan dia gunakan ini untuk pukul kerajaan bukannya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika berucap sebagai penceramah di Kursus Kenegaraan Malaysian Press Institute (MPI): Media dan Pilihanraya Umum di Universiti Malaya pagi tadi.]
"That was a biased penghakiman.Semua orang bersetuju 'it was biased' penghakiman. Dia tidak melibatkan pengundi hantu," katanya menjelaskan kedudukan kes tersebut kepada hadirin.
Kursus yang dihadiri oleh hampir seratus peserta terdiri daripada para pelajar UM dan pengamal media seperti wartawan dan penulis. Hadir sama pada sesi pertama pagi tadi ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian (MPI) Dato' Chamil Wariya yang merangkap sebagai pengerusi majlis.
Rashid berkata demikian ketika menjawab soalan salah seorang peserta yang membangkitkan persoalan bahawa beliau akan meletakkan jawatan sekiranya terbukti SPR menyeleweng termasuk isu dakwat celup jari yang didakwa yang tidak kekal lama.
Peserta yang memperkenalkan diri sebagai mahasiswa UM turut mengemukakan antara fakta dalam satu tulisan berhubung isu SPR iaitu pada 2001, bahawa Hakim Dato' Muhammad Kamil Awang membatalkan keputusan pilihan raya DUN Likas, Sabah atas alasan senarai pemilih 1998 bagi kawasan berkenaan tidak mengikut undang-undang di mana pengundi-pengundi hantu, termasuk yang bukan warganegara, telah secara bukti dibenarkan membuang undi pada hari pengundian.
Dalam penghakiman Hakim Muhammad Kamil dipetik sebagai berkata, SPR gagal menjalankan tanggungjawab mereka dalam mengesahkan dan menggazet senarai pemilih yang mencurigakan, di samping banyak laporan yang dibuat terhadap kepincangan SPR serta pihak kerajaan bagi menjalankan siasatan terhadap wujudnya orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan dalam senarai pemilih.
Rashid sebelum ini ketika berucap turut menyatakan bahawa sudah 25 tahun berkhidmat dalam SPR namun tidak ada bukti yang menunjukkan ada penipuan berlaku malah menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah parti memerintah yang kuat yang tidak memerlukan pertolongan SPR untuk menang.
Rashid selar Harakah dan Ustaz Hadi
Beliau juga mendakwa kumpulan yang membuat tuntutan dakwat celup jari ini sebagai kumpulan yang suka memutarbelitkan isu dan kenyataan.
"Kumpulan ini selalunya dia 'twist', dia putar belitkan satu kenyataan.Dia nak dakwat kita bagi dakwat. Dakwat itu saya sendiri 'test' di jari saya. Sebulan tak tanggal lagi."
"Saya nak keluar bertengkar dengan diakah? Semua loyar buruk.Ini satu kumpulan loyar buruk. Dia 'twist' and 'turn'...," katanya menjelaskan isu dakwat yang diperkenal SPR didakwa dalam satu tulisan sebagai tidak kekal dah mudah luntur.
Beliau dalam ucapannya yang hampir satu jam setengah bermula 9.30 turut kecewa dengan suasana manipulasi oleh kumpulan tertentu yang dilihatnya semakin dasyat malah turut membidas akhbar Harakah. "....I sendiri 'get frustrated with this'. Ini manipulasi keadaan just untuk capai kemenangan dari sudut politik. Itu sebab saya tak keluar menjawab. Tak boleh jawab. "Dia ada akhbar dia...yang amat adil...Harakah. Dia ada Harakah maki hamun kat orang. Itu adillah tu. Saya tak ada.
Di kesempatan itu beliau dilihat seolah-olah membidas Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Ustaz Abdul Hadi Awang yang pernah bertemu beliau di pejabat SPR di Putrajaya tempoh hari.
"Tiap-tiap hari manipulasi amat dasyat.Meeting dengan saya di dalam, di luar cerita lain."
"...Haji Hadi datang hari tu meeting dengan saya, diluar kata ada 500,000 pengundi hantu, semuanya mengundi...orang pakai serban besar pakai jubah..macam mana ni?Kalau saya kata... orang dia akan kecik hati pulak kata tok guru dia...tak pelah biarlah dia jawab esok..." katanya seterusnya mengakhiri ucapannya dalam sesi sola jawab tersebut.
Harakah juga pernah mendedahkan bahawa beliau pernah berkata, "Memang perangai dia (PAS) begitu. Saya serta SPR banyak kali menerima tuduhan PAS yang mendakwa mempunyai bukti (kegagalan SPR menguruskan pilihan raya). Saya tunggu sampai sekarang pun tidak ada (PAS) hendak mendakwa SPR (di mahkamah),'' ( rujuk Utusan Malaysia 9/12/2004)
Sedangkan Rashid seolah-olah lupa bahawa PAS telah pun memfailkan Writ Saman ke atas SPR di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17/5/2004 dan No Kesnya di Mahkamah ialah R2-22-02-2004 (Kes Nasharudin bin Mat Isa menyaman sebagai Setiausaha Agung PAS dan sebagai wakil ahli-ahlinya lwn SPR ).
Selain itu PAS menurut peguam PAS Hanipa Maidin telah memfailkan lebih kurang 24 petisyen pilihanraya di seluruh negara ( 5 di Kelantan, 9 di Trengganu, 5 di Selangor, 2 di Perak, 1 di Kedah, 1 di Perlis dan 1 di Johor ) dan dalam ke semua petisyen tersebut SPR telah dinamakan sebagai Responden.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home